Wednesday, August 25, 2010

PERAYAAN 1 MALAYSIA


                                                  PERAYAAN 1 MALAYSIA


                                             HAZIMAH BINTI HASSAN   206621


Apabilb kita mengungkapkan"Malaysia" pasti sudah tergambar di kaca mata kita bahawa ia adalah sebuah negara yang mempunyai penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum.Kaum majoriti yang terdapat di Malaysia ialah Melayu.diikuti oleh kaum Cina dan India serta kaum-kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak.Kepelbagaian kaum ini telah mewujudkan perayaan yang tersendiri mengikut kaum masing-masing.Antara 



perayaan yang di sambut oleh masyarakat majmuk di Malaysia adalah Hari Raya Aidilfitri,Hari Raya Aidiladha,Maal Hijrah,Tahun Baru Cina,Chap Goh Mei,Kuih Bulan,Hari Wesak,Deepavali,Pongal,Thaipusam,Krismas dan sebagainya.Marilah kita sama-sama hayati dan selami apa yang sebenarnya yang terkandung dalam erti sebuah perayaan bagi rakyat Malaysia......^_^



HARI RAYA AIDILFITRI( 1 SYAWAL )    


Dirayakan oleh umat Islam khususnya. Perayaan ini menandakan berakhirnya ibadah puasa di bulan Ramadhan .Selepas mengerjakan solat sunat Aidilfitri, kaum keluarga akan berkumpul untuk mengucapkan ‘selamat hari raya ‘ dan kemaafan dipohon,Ia menandakan kesalahan lalu telah dilupakan Tradisi memberi ‘ duit raya’ memeriahkan lagi suasana.Juadah istimewa bagi hari raya ialah seperti ketupat, rendang, sambal kacang, lemang, dan serunding.Hari raya diraikan selama sebulan, dimana terdapat banyak pihak mengadakan rumah terbuka. 

 

HARI RAYA AIDILADHA ( 27 ZULHIJJAH )   
 

 Hari Raya Korban Aidil Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji. Ia menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah Lazimnya umat Islam akan bersolat sunat pada pagi hari dan melaksanakan ibadah korban.Haiwan ternakan seperti lembu,kambing, biri-biri dan kerbau akan dijadikan haiwan sembelihan.Ini adalah ibadah sunat yang dituntut sempena Aidiladha, sebagai lambang tulus dan ikhlasnya hamba terhadap Allah Taala. Daging haiwan itu akan dibahagi-bahagikan, ⅓ kepada tuan punya dan selebihnya kepada fakir miskin dan jiran tetangga yang beragama Islam.


HARI MAAL HIJRAH ATAU AWAL MUHARRAM



Menandakan dua peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam Peristiwa ini untuk memperingati penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W.dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi.Ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat,bacaan Al-Quran dan majlis ilmu di masjid-masjid di seluruh negeri. Maal Hijrah bermaksud perpindahan. Makna lain bagi hijrah ialah perubahan daripada keburukan dan kelemahan kepada kebaikan dan kelebihan Hari ini merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.


TAHUN BARU CINA    



Mengikut lagenda, pada zaman silam terdapat seekor makhluk ganas yang bernama ‘ Nian’ sering mengancam manusia.Hal ini membuatkan manusia hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan.Orang Cina menyedari bahawa makhluk ganas itu takut kepada bunyi kuat dan warna merah. Akhirnya mereka berjaya menakutkan makhluk ini dengan melemparkan reben merah ke udara, meletupkan mercun dan membakar bunga api siang dan malam bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian ‘ cheongsam’ , ia menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul dan dihiasi dengan buah limau, bunga dan pokok limau kumquat.
Pada hari ini kaum keluarga akan dijamu dengan makan besar iaitu masakan tradisi seperti itik, salai, sosej, kek beras, dan limau mandarin.


Apabila hari siang, lilin upacara akan dibakar, pakaian baru yang berwarna merah akan memeriahkan lagi suasana, disamping ucapan ‘Gong Xi Fa Cai’ akan diucapkan sesama penganut Tetamu mula berkunjung membawa limau mandarin, manakala tradisi memberi ‘ang pow’ diteruskan kepada kanak-kanak dan orang yang belum berkahwin Perarakan tarian Naga atau Singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Apabila selepas lima belas hari, perayaan Tahun Baru Cina ditamatkan dengan dengan perayaan Chap Goh Mei .


2. HARI CHAP GOH MEI



Disambut dengan mengadakan upacara sembahyang secara besar-besaran, colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan.Malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian cantik dan mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secucuk. Amalan melontar buah limau ke dalam laut atau sungai dilakukan dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau yang basah akan membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai. Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, opera Cina, dan mengimbang bendera besar Chingay.

3. HARI KUIH BULAN


Disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 kalendar Cina.Ia menandakan berakhirnya musim menuai pada zaman dahulu kala.Juga dikenali sebagai Pesta Tanglung Di Malaysia, masyarakat Cina menyambutnya dengan mengunjungi tokong, berkumpul bersama keluarga, membuat kuih bulan dan menggantung tanglung Amalan memberi kuih bulan kepada rakan dan saudara mara diadakan,hal ini adalah untuk mengukuhkan ikatan, kerana kuih bulan adalah lambang kehormatan.

4. HARI WESAK


Bagi penganut agama Buddha ,hari Wesak melambangkan kelahiran, kesedaran, dan kematian Gautama Buddha.Amalan mengunjungi kuil Buddha pada waktu pagi dilakukan untuk memusatkan fikiran kepada lapan prinsip "Precepts" sementara para sami yang memakai sarung kuning akan membaca kitab Buddha,iaitu(Sutras)Selepas itu penganut Buddha akan bersembahyang dan melepaskan burung merpati. Hari ini juga merupakan hari memberi makan kepada orang miskin dan sedekah kepada para sami.

5. DEEPAVALI


 Dikenali oleh masyarakat Hindu sebagai pesta cahaya, Deepavali atau Diwali iaitu merupakan simbol kebaikan dengan menumpaskan kejahatan, cahaya menumpaskan kegelapan. Pada pagi Deepavali, mereka akan bangun awal, untuk upacara mandi minyak. Ia adalah simbol kepada penyucian diri dan menuju ke kuil untuk bersembahyang. Oleh kerana namanya Pesta Cahaya, ia disambut dengan cahaya dan lampu oleh penganut Hindu Penganut Hindu akan membersihkan rumah mereka, hiasan seperti kolams dibuat, dan lampu ‘ vilakku’ dipasang. Perayaan juga bertambah serinya dengan lampu-lampu moden Penganut Hindu juga percaya bahawa Dewi Laksmi, iaitu dewa kekayaan dan kemakmuran akan datang melawat rumah pada masa tersebut, maka persiapan ini juga akan dibuat untuk menyambutnya.


6. PESTA PONGAL MASYARAKAT HINDU 


Dirayakan oleh masyarakat Hindu di Malaysia. Perkataan “pongal” adalah bermaksud “masa menuai” dan ia menandakan masa untuk menuai hasil tanaman mereka di masa lalu Pada pagi hari, kebiasaannya kaum wanita akan mengemas rumah dan menghiasi rumah dengan kolams yang dibuat di depan pintu rumah,ia sebagai tanda selamat dan rahmat supaya isi rumah mendapat kesejahteraan. Beras yang diguna untuk membuat kolams ini juga boleh dimasak untuk dijadikan juadah kepada tetamu dan juga diletakkan di kuil untuk dipersembahkan kepada dewa. Ianya dimasak dengan kunyit dan halia dan dimakan dengan dhal dan susu. Terdapat juga makanan tradisi yang lain seperti vadaas , payasam,dan keledek untuk dijamu semasa Pongal. Perayaan ini biasanya disambut selama empat hari.

7. HARI THAIPUSAM


Disambut oleh mereka yang beragama Hindu diseluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Lord Murugan atau juga dikenali sebagai Lord Subramaniam Merupakan hari bertaubat pada dosa-dosa yang lepas Patung Dewa Subramaniam,iaitu anak bongsu Dewa Siva, diletakkan di atas pedati perak dan diarak dengan musik. Ciri utama perayaan Thaipusam adalah acara membawa kavadi, kerangka besi atau kayu yang dihiasi dengan kertas berwarna warni, bunga, dan, buah segar sebagai membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam. Kavadi merupakan kerangka besi separuh bulatan dengan galang untuk diletakkan pada bahu dan dihiasi dengan bunga-bungaan, dan bulu merak Sesetengah penganut Hindu yang lain mengenakan selipar berpaku, atau mengenakan rod logam menembusi pipi, lidah, dan badan mereka. Bagaimanapun mereka berada dalam keadaan terpukau dan tidak merasa sakit Di Malaysia , perayaan Thaipusam dirayakan setiap tahun di Batu Caves Perarakan membawa kavadi bermula ketika fajar terbit. Pembawa kavadi akan berada dalam keadaan terpukau dan menusuk pipi, lidah, kening, badan, dan belakang dan memanjat anak tangga sehingga sampai ke pintu masuk Batu Caves untuk menyucikan diri. Selain penyeksaan diri untuk mendapatkan restu dari dewa Lord Murugan, madu, susu, dan kelapa juga akan dipersembahkan kepada dewa-dewa.

8.Hari Wilayah 


Hari Wilayah disambut di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan acara perarakan, pertunjukan bunga api, pameran serta persembahan kebudayaan. Kebanyakan acara dibuka kepada orang ramai tanpa dikenakan sebarang bayaran.

9.Tadau Kaamatan



Pesta ini disambut setiap tahun oleh komuniti etnik terbesar di Sabah, iaitu kaum Kadazan Dusun. Perayaan kesyukuran ini diadakan sebagai tanda penghormatan kepada semangat padi yang digelar Bambaazon, atas hasil tuaian padi yang lumayan. Kemuncak perayaan ini termasuk jamuan minuman tuak, makanan serta tarian tradisional, pertandingan Ratu Cantik, perlumbaan kerbau dan sebagainya.


10.Gawai Dayak


Gawai Dayak disambut oleh kaum Iban, Orang Ulu serta Bidayuh di Sarawak pada awal bulan Jun bagi menandakan penghujung musim menuai. Perayaan yang mempesonakan ini memaparkan pelbagai upacara tradisional serta tarian yang diadakan di rumah-rumah panjang di seluruh Sarawak. Sanak-saudara serta para pengunjung dijamu minuman tuak serta hidangan ayam yang dimasak di dalam buluh, dan pelbagai masakan tradisional yang lain di rumah-rumah terbuka di sini.

11.Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong


Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, Malaysia menyambut hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong pada setiap hari Sabtu minggu pertama bulan Jun. Hari ini disambut dengan acara penganugerahan darjah kebesaran kepada warganegara Malaysia yang telah banyak berjasa kepada negara. Kemuncak sambutan termasuk ‘Perarakan Panji-Panji’ oleh anggota tentera, serta pelbagai bentuk pameran dan pertunjukan.

12.Krismas 



Perayaan Krismas lebih meriah di kawasan tropika Malaysia dengan penduduknya yang ramah.Ia diraikan oleh penganut agama Kristian.Santa Klaus adalah lambang kepada perayaan ini.Majlis menjamu tetamu diadakan.Acara memeberi hadiah kepada kaum keluarga turut dilakukan.Hal ini mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama mereka.

KESIMPULAN
Tuntasnya,Malaysia sangat kaya dengan pelbagai jenis perayaan yang disambut oleh penduduknya.Perayaan-perayaan ini telah mewujudkan satu hubungan yang utuh dalam kalangan masyarakat di Malaysia dan ia tidak terhad kepada kaum yang menganuti agama tertentu.Perayaan ini akan dapat menyemai rasa kasih dan cinta akan Negara Malaysia dengan aktiviti yang dijalankan semasa perayaan itu disambut.Maka,kita tidak boleh melupakan atau hanya memandang sebelah mata sahaja semua perayaan yang ada di negara ini,kerana perayaan boleh menjadi salah satu cara untuk memupuk perpaduan yang sememangnya akan menjadi tonggak kepada kemajuan negara kita.

No comments:

Post a Comment