Tuesday, August 24, 2010

MAKANAN


                     HEMAHROOBINIY A/P BALAN         206637


             MAKANAN

Malaysia adalah sebuah negara yang kaya dengan pelbagai kaum, agama, bangsa, dan budaya contoh kaum yang terdapat di malaysia adalah seperti kaum melayu, india, cina, sikh, kristian, baba nyonya, khadazan, iban, murut, dan lain-lain kaum. Hal ini menyebabkan malaysia kaya dengan pelbagai adat resam dan tradisi yang unik justeru menjadi kebanggaan negara di persada antarabangsa akan kepelbagaian warna-warni yang menyinari di malaysia serta perpaduan dan harmoni yang dapat dipelihara antara pelbagai jenis kaum di malaysia.Gabungan kaum Melayu, Cina dan India berjaya menyatukan pelbagai hidangan kepada ‘hidangan Malaysia’ dan menjadikan ia sebagai salah satu tarikan utama kepada pelancong luar. Penduduk di Malaysia ini juga dikatakan banyak menghabiskan masa di meja makanan dan menjadikan masa menikmati hidangan itu sebagai aktiviti kekeluargaan bersama dan kebangsaan.  Kaum Melayu, India dan Cina di Malaysia ini sentiasa berfikiran kreatif dan inovatif, berganding bahu mencuba masakan baru dengan menggabungkan pinjam meminjam tradisi budaya masing-masing. Dengan ini lahirlah nasi ayam, mi mamak, mi kari dan lain-lain lagi.

MAKANAN MELAYU




Budaya makanan orang Melayu tidak akan sempurna jika tidak diiringi dengan nasi. Nasi merupakan makanan utama bagi orang Malaysia dan orang Melayu amnya. Beras juga merupakan nadi budaya kehidupan dan adat bagi penduduk Asia.Di Malaysia padi menjadi tanaman utama di Kedah dan Perlis dan dikenali sebagai ‘rice bowl of Malaysia’. Nasi dihidangkan dengan pelbagai lauk-pauk dan ulam ulaman.  Bahan yang digunakan dalam masakan Melayu berkisar kepada santan, cili dan belacan. Belacan merupakan sejenis bahan masakan yang diperbuat daripada udang kara yang dimampatkan dan tahan lama. Ia mempunyai bau yang kuat tetapi sedap dan berkhasiat dimakan. Sekiranya belacan dibakar ia akan mengeluarkan bau yang sungguh kuat. Belacan juga merupakan salah satu bahan menghasilkan sambal belacan, iaitu cili dan belacan yang ditumbuk lumut dengan menggunakan lesung tangan.
Hidangan orang Melayu dikatakan mampu menghangatkan suasana di meja makan. Hidangan Melayu terkenal bukan sahaja dari keenakan tetapi dari segi kepedasan dan juga penggunaan rempah ratusnya.
Santan merupakan bahan asas dalam masakan kita. Ia digunakan dalam segala jenis gulai atau masak lemak. Bahan perasa dalam masakan Melayu di bahagi kepada dua: rempah basah dan rempah kering.  Rempah basah iaitu bahan yang ditumbuk dengan batu lesung: bawang, halia, bawang putih dan cili. Rempah kering pula termasuk biji ketumbar, jintan, buah pelaga, kayu manis dan lain-lain. Rempah ratus ini selalunya di digoreng tanpa minyak terlebih dahulu sebelum ditumbuk atau dikisar. Orang Melayu juga banyak menggunakan bahan-bahan herba seperti serai, daun pandan, daun limau purut, daun kemangi, bunga kantan, kunyit, lengkuas dan buah pala.Sayuran ditanam di belakang rumah dan juga di perairan sawah dan bendang. Pucuk paku, petai, daun pegaga, daun selum, daun kaduk, cendawan (kulat) dan lain-lain jenis ulaman daun menjadi makanan amalan orang Melayu di kampung.  Daun-daun ini selain kaya dengan sumber vitamin dan mineral, ia juga tinggi dari segi serat. Daun kaduk dan daun pegaga telah mendapat pengiktirafan dari WHO sebagai herba yang mempunyai pelbagai faedah kepada kita. Ia boleh merangsang aktiviti otak kanak-kanak, pengaliran darah yang sihat dan menghaluskan tekstur kulit seseorang. Untuk pesakit diabitis dan tekanan darah tinggi, ulam jering boleh dijadikan ubat kerana kandungan alkali yang tinggi dan berfungsi sebagai bahan dirutik. Tongkat Ali merupakan akar kayu yang terbilang hasiatnya dari segi penambahan tenaga batin dan juga tenaga fisikal. Tongkat Ali dijual dalam bentuk tablet dan juga serbuk. Di restoran dan gerai kopi, tongkat Ali turut menjadi minuman kegemaran kaum-kaum lain. Nasi lemak patut dijadikan makanan kebangsaan Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi kegemaran orang Melayu tetapi turut di pelopori oleh kaum Cina dan India. Nasi lemak dahulunya dihidang untuk sarapan pagi tetapi pada masa kini dijadikan hidangan tengah hari dan malam. Ia juga turut dihidang pada rumah terbuka dan dijadikan salah satu menu di hotel-hotel terkemuka. Masyarakat kaum Melayu menggunakan tangan kanan dan hujung jari sahaja ketika menjamu selera. Tapak tangan tidak digunakan agar kelihatan bersih dan tidak comot. Kebanyakan kuih muih orang Melayu berasaskan beras, beras pulut dan ubi. Contohnya kuih seri muka (di bawah pulut dan di atas kastad pandan) bengkang ubi, talam keladi, cucur badak, kuih lapis dan sagu gula Melaka.  Manisan tradisi bagi orang Melayu pula ialah dodol, bahulu dan onde-onde. Kuih tradisi ini masih diminati terutama pada bulan Ramadhan dan lebaran. Minuman iringan pula, orang Melayu kita tidak 
akan lupa menghidangkan air sirap bandung, sirap selaseh, air kelapa dan air kopi kampung.



MAKANAN INDIA MUSLIM




Kini populariti nasi kandar telah menular ke negeri-negeri lain di Semenanjung. Nasi kandar diiringi dengan pelbagai jenis lauk pauk (dalam 30 jenis masakan). Contoh hidangan lauk pauk nasi kandar ialah: ayam goreng berempah, kari kepala ikan, ikan goreng, kari telur sotong, udang galah goreng, kari daging rusa, kari kambing dan lain lain. Nasi kandar mengekalkan nama ‘kandar’ ini berlandaskan cara penjaja nasi ini menjualnya. Nasi dikandar di bahu (dua bakul atau raga dengan satu batang kayu) dan mereka akan berjaja merentas kampung-kampung. Pasa masa kini nasi kandar boleh dinikmati di restoran-restoran dan juga di hotel. Menikmati hidangan yang disajikan di atas daun pisang juga menjadi kegemaran orang-orang Malaysia. Minuman iringan dengan nasi kandar ini ialah teh tarik. Ia sepatutnya juga menjadi air minuman kebangsaan Malaysia.


MAKANAN INDIA
 
Makanan tradisi kaum india terdiri daripada thosai, idli, vaadai, roti canai atau paratha dan puri ini pada asalnya ialah makanan kegemaran kaum India. Buat masa kini roti canai berjaya meletakkan tarafnya bersama dengan nasi lemak, diminati oleh sebilangan besar rakyat Malaysia. Capati yang diolah dari gandum tulin mempunyai banyak khasiat dan makanan sesuai untuk penyakit kencing manis dan darah tinggi. Roti-roti ini sedap dimakan bersama dal, kari dan sambal. Satu lagi hidangan berasal dari India ialah nasi beriani. Terdapat beberapa jenis nasi beriani tetapi yang menjadi sebutan dan gilaan ialah nasi beriani gam. Ia bukan sahaja digemari oleh kaum India tetapi juga diminati oleh kaum-kaum yang lain. Nasi beriani ini dipelopori oleh orang Melayu terutama di Johor. Nasi beriani gam ini dimasak bersama dengan lauknya (ayam dan daging) dan doh tepung gandum menjadi bahan penampal atau pelekat. Doh ini akan ditampal di sekeliling tutup periuk untuk mengekalkan wap dan haba, dan seterusnya mengekalkan aroma dan tekstur nasi. Kuih muih orang India dijual di restoran mamak ialah: vaadai, muruku dan suji.  Pelbagai minuman berasaskan tairu dan buah-buahan juga turut dijual. Masyarakat kaum India lazimnya menggunakan tangan kanan dan hujung jari sahaja. Tapak tangan tidak digunakan agar kelihatan bersih dan tidak comot.


MAKANAN BABA NYONYA



Masakan nyonya pada masa kini sangat diminati oleh pelbagai kaum di Malaysia. Kaum nyonya bermastautin di Melaka dan Penang. Keturunan nyonya ini dikatakan berasal dari kaum Cina dan Amoy (Xiamen) dan Fukian. Pada abad ke-12 mereka mengawini gadis Melayu tempatan dan seterusnya berkeluarga di mana anak lelaki mereka dipanggil baba dan anak perempuan dipanggil nyonya. Baba dan nyonya mengikut dan meminati nilai tradisi dan budaya Melayu. Mereka fasih berbahasa Melayu, memakai kebaya dan memahami adat resam, nilai dan tradisi orang Melayu. Walau bagaimanapun kaum baba dan nyonya ini masih mengekalkan agama dan adat resam kaum Cina. Masakan nyonya adalah gabungan masakan orang Melayu dan Cina. Contoh masakan nyonya ialah bubur caca, ikan bakar dan air asam, nasi kerabu dan lain-lain. Terdapat beberapa perbezaan antara nyonya Penang dan nyonya Melaka. Di antaranya ialah penggunaan cili, di mana masakan nyonya Penang agak pedas berbanding nyonya Melaka.  Nyonya di Penang dipengaruhi oleh Thailand di mana penggunaan limau dan asam jawa agak ketara. Masakan nyonya di Melaka mempunyai banyak pengaruh Indonesia dan Melayu. Contohnya ialah gado-gado dan penggunaan santan dalam masakan mereka. Kaum nyonya juga pandai menggayakan buah-buahan dan sayuran tempatan di dalam masakan mereka. 


 MAKANAN CINA




Bagi kaum Cina pula bahan utama dalam masakan mereka ialah bahan soya (tahu, taucu, kicap soya) cendawan, bunga lily, biji bijan dan lain-lain. Bahan ini kemudiannya akan diolah bersama rempah yang digunakan oleh orang Melayu seperti biji ketumbar, kayu manis dan sebagainya. Kebanyakan masakan Cina di negara kita ini, kebanyakan resipinya berasal dari Negeri China, contohnya: yong tau foo, char koay teow, dim sum dan lain-lain.  Masakan ini telah diminati semenjak abad ke-18. Lok lok adalah satu-satu makanan Cina yang masih dijaja dan menjadi kegemaran kaum Cina. Lok lok atau dikenali dengan sate celup merupakan makanan ringan dari sayuran, daging dan makanan laut. Minuman iringan bagi kaum Cina ialah teh Cina dan manisan kegemaran mereka ialah buah-buahan segar dan manisan berasaskan kekacang. Lazimnya masyarakat kaum cina menggunakan penyepit atau sudu dan garpu untuk menjamu selera. Masyarakat kaum cina menganggap dengan menjilat hujung penyepit adalah tidak bersopan.


Kesimpulannya malaysia terdiri daripada pelbagai agama dan kaum yang memberi peluang kepada penduduknya untuk menikmati pelbagai jenis makanan yang melazatkan.

No comments:

Post a Comment