Wednesday, August 25, 2010

PERMAINAN TRADISIONAL

YOGESWARI A/P SELVARAJOO           205586

Masyarakat Malaysia mempunyai pelbagai jenis kebudayaan yang digarap daripada pelbagai keturunan. Kebudayaan ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan mempunyai adat sehingga membentuk kebudayaan masing-masing.Setiap agama di Malaysia mempunyai permainan tradisionalnya yang tersendiri. Permainan tradisional tersebut telah melambangkan kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Apabila sesuatu permainan diadakan di sesebuah kampung, penduduk kampung bersebelahan turut berkunjung untuk mengambil bahagian atau member semangat. Suasana di padang permainan pada masa tersebut dapat mewujudkan interaksi social di antara kampung-kampung yang mengambil bahagian. Oleh sebab itu, permainan tradisional juga dikenali sebagai permainan rakyat. Pada masa kini, boleh dikatakan banyak permainan tradisional hampir dilupakan dan hanya tinggal sebagai memori dalam peringatan ibu bapa dan datuk nenek kita.namun,ada juga permainan tradisional yang masih dimainkan sehingga ke hari ini oleh masyarakat Malaysia. Contohnya, congkak,galah panjang,gasing,mahjong,xiang qi,yoyo cina, kabadi,chaturanga dan sebagainya. Permainan tradisional merupakan identiti bagi budaya masing-masing.
PERMAINAN TRADISIONAL MASYARAKAT MELAYU
Permainan tradisional bagi masyarakat Melayu ialah congkak,galah panjang,gasing dan sebagainya. Congkak merupakan sejenis permainan yang mengunakan papan kayu berlubang dan buahnya mengunakan biji congkak,biji getah,biji guli dan lain-lain. Congkak juga boleh dimain dengan membuat lubang di atas tanah. Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Papan kayu congkak diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Sekiranya, congkak dimain di atas tanah,lubang digali dan akan meletakkan tempurung kelapa supaya tangan tidak terkena tanah.Terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'. Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebarnya 18 cm.Dua orang pemain diperlukan dan berkedudukan mengadap satu sama lain. Untuk memulakan permainan, biji getah atau guli akan diisikan dalam setiap kampung dengan sama banyak dan rumah dibiarkan kosong.Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak. Mereka akan mengambil buah congkak dan dimasukkan secara satu persatu buah congkak ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati. 'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Dan selepas itu setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Setiap pemain akan meneruskan permainan sehingga kehabisan buah congkak, dan pemain akan mengisi lubang dengan buah yang terdapat dalam lubang ibu. Pemain yang tidak cukup buah akan ditutup lubangnya, dan pemain yang menang dalam giliran sebelumnya akan memulakan permainan. Ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi satu lubang sekalipun dan dianggap kalah, atau apabila kedua-dua pemain sudah bosan. Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak". Di akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang memiliki buah congkak terbanyak. Sekiranya jumlah buah congkak sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.
Guli juga merupakan permainan tradisional masyarakat Melayu. Guli biasanya diperbuat daripada kaca.tanah liat atau akik. Permainan guli biasanya melibatkan lontaran guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun. Jumlah pemain bagi permainan ini tidak melebihi lima orang.Kawasan tanah rata dan lapang adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki. Sebagai langkah pertama,satu bulatan dilukiskan di atas tanah berukuran garis pusat 1 m. Selepas itu,di tengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan sebuah lubang sebesar 10 cm lebar dan sedalam 7 cm dengan menggunakan tumit kaki yang dihentakkan ke tanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Selepas itu,satu garisan lurus dibina dengan jarak 3 m daripada garisan besar tersebut. Garisan ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan. Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan ke atas guli pemain lainnya.Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat, ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu. Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah itu jauh dari kawasan bulatan.






PERMAINAN TRADISIONAL MASYARAKAT INDIA


Permainan tradisional bagi masyarakat India pula kabadi, chaturanga dan sebagainya. Permainan kabadi sangat terkenal di Selatan Asia dan tersebar dengan meluas di Tenggara Asia,Jepun, dan Iran. Permainan ini juga dimainkan oleh tentera british untuk menjaga kemantapan badan dan juga untuk hiburan. Permainan ini adalah berdasarkan kesesuaian umur dan berat. Permainan ini terdiri daripadasatu pengadil, dua pembantu pengadil, satu penjaring dan dua pembantu penjaring.Dalam satu permainan, dua pasukan dibentuk, di mana setiap pasukan terdiri daripada tujuh pemain. Setiap pasukan akan menyediakan pemain simpanan sebanyak lima orang. Permainan ini berlangsung selama 20 minit dengan 5 minit rehat semasa penukaran gelanggang. Mula-mula satu pasukan akan menghantar penyerang kepada pasukan pihak lawan untuk menyentuh salah seorang pemain dari pihak lawan sebelum patah balik kepada pasukannya. Pemain yang telah disentuh tadi akan terkeluar. Sementara itu, pihak pertahanan akan membentuk sebuah rantai dengan berpegangan tangan antara satu sama lain. Jika rantai tersebut terputus,salah seorang pemain pertahanan akan meninggalkan padang. Sasaran pertahanan adalah untuk menghentikan penyerang balik ke pasukannya sebelum berhenti berehat. Jika penyerang berhenti sebelum sampai ke destinasi, penyerang itu akan meninggalkan padang. Pemain juga boleh melepasi sempadan garisan atau bahagian badan mencecah tanah di luar garisan,kecuali semasa bergelut dengan pasukan pihak lawan. Semasa setiap pemain keluar, pihak lawan akan mendapat markah. Sekiranya, pasukan mendapat dua mata bonus,yang dipanggil lona,maka semua pihak lawan akan tersingkir. Pada akhir perlawanan, pasukan yang mengumpul mata tertinggi akan menang.
Chaturanga juga merupakan salah satu permainan tradisional india. Catur moden pada masa kini yang dimain oleh semua lapisan masyarakat, dipanggil sebagai Chaturanga, yang berkembang di India pada abad ke-6. Sejak awal, permainan ini sudah memperkenalkan dua pihak yang bermain, perbedaan buah catur dengan kekuataan yang berbeda, dan kemenangan bergantung pada buah terakhir iaitu dipanggil ‘sang Raja’ dalam catur moden.Dalam catur kuno, papan catur memiliki 100 kotak atau lebih. Pada awal abad 19, Kapten Hiram Cox dan Duncan Forbes mengatakan bahawa dahulu catur dimainkan oleh 4 orang sekaligus, termasuk empat pemain dalam chaturanga.Dalam terminologi sanskrit, "Chaturanga" bererti "memiliki empat bahagian" dan dalam puisi epos kepahlawanan itu juga bererti "tentera." Nama permainan ini,iaitu chaturanga berasal dari sebuah formasi pertempuran dalam epos Mahabrata yang terkenal di India. Chaturanga adalah sebuah simulasi permainan perang untuk memperlihatkan kekuatan strategi tentera India pada masa itu. Ashtāpada, kotak 8 x 8 di sebuah papan merupakan tempat bermain Chaturanga. Papan lain yang dikenal di India adalah Dasapada 10 x 10 dan Saturankam 9 x 9. Ilmuwan Arab Abu al-Hasan 'Alī al-Mas'ūdī memberi perincian tentang penggunaan catur sebagai sebuah alat strategi militer, matematik, perjudian dan juga dihubungkan dengan ramalan nasib di India dan tempat lainnya. Catatan Mas'ūdī juga menunjukkan Ivory di India merupakan daerah mangeluarkan alat permainan catur untuk pertama kali, menyebarkan serta memperkenalkan permainan ini dari Persia ke India semasa Kerajaan Nushirwan. Kemudian terjadi evolusi pada permainan chaturanga yang dikenal dengan nama Shatranj (chatrang), di mana sebuah permainan mempunyai dua orang pemain serta kekalahan dan kemenangan akan ditentukan melalui pembersihan terhadap semua bidak lawan kecuali raja atau melalui penaklukan terhadap raja lawan. Posisi pion dan kuda tidak berubah, tapi bidak lain mengalami perubahan bentuk.




PERMAINAN TRADISIONAL MASYARAKAT CINA 

Permainan tradisional bagi masyarakat Cina ialah, mahjong.xiang qi, go dan sebagainya. Mahjong atau mahjung merupakan permainan untuk orang yang berasal dari China. Mahjong membabitkan kemahiran, strategi, dan pengiraan, termasuk juga nasib. Bergantung kepada variasi yang dimainkan, nasib boleh menjadi isu remeh atau faktor utama kejayaan. Di Asia, permainan mahjong juga popular sebagai perjudian dan sebagai permainan komputer.Objektif permainan adalah untuk membina set lengkap atau gabungan dan biasanya bertiga, dari samaada 13 atau 16 keping. Orang pertama mendapatkannya adalah dikira pemenang. Kemenangan akan ditentukan apabila pemain melengkapkan set dengan 14 atau 17 keping.Salah satu mitos asal-usul mahjong menyatakan bahawa Confucius, ahli falsafah China teragung telah membangunkan permainan ini pada 500SM. Dakwaan ini mungkin adalah cerita yang diragui kebenarannya. Menurut mitos ini, kemunculan permainan tersebut dalam pelbagai negeri China bersesuaian dengan pengembaraan Confucius pada masa beliau sedang mengajar doktrin-doktrin baru beliau. Tiga biji buah naga Cardinal juga menyamai dengan tiga nilai Cardinal yang diturunkan oleh Confucius. Zhōng sebagai harfiah tengah, Merah sebagai harfiah kemakmuran dan Hijau sebagai harfiah putih.Putih masing-masing mewakili Kemurahan hati, Kejujuran, dan Ketaatan terhadap ibu bapa.Hakikatnya, "tengah" mungkin adalah rujukan kepada nama Negara. Mitos ini juga mendakwa bahawa Confucius menggemari burung yang mungkin menjelaskan nama "Mahjong" yang bermaksud burung pipit. Bagaimanapun, tiada bukti kewujudan mahjong sebelum era Taiping pada kurun ke-19 yang mengenepikan Confucius sebagai pencipta. Mungkin teori lain membayangkan bahawa permainan tersebut dimajukan dari kad dan permainan domino Cina sekitar tahun 1850. Ramai sejarahwan percaya bahawa ia berasaskan satu permainan kad Cina yang disebut sebagai Mádiào juga dikenali sebagai Ma Tiae, secara harfiah bererti Kuda Tergantung; atau Yèzí secara harfiah bererti Daun di zaman awal Dinasti Ming. Permainan ini dimainkan dengan 40 keping kad yang penampilannya serupa dengan kad-kad yang digunakan dalam permainan Ya Pei. Masih wujud lagi perdebatan sihat mengenai siapa yang mencipta permainan tersebut. Satu teori menyatakan bahawa pegawai tentera China yang berkhidmat semasa Pemberontakan Taiping telah mencipta permainan tersebut untuk mengisi masa. Teori lain menyatakan bahawa seorang bangsawan yang tinggal di kawasan Shanghai telah mencipta permainan tersebut antara tahun 1870 dan 1875. Manakala yang lain pula percaya bahawa di sekitar tahun 1850 di bandar Níngpō, dua orang bersaudara telah mencipta mahjong berdasarkan permainan Mádiào.Permainan tradisional Cina ini diharamkan di negara asalnya pada tahun 1949, apabila Republik Rakyat China ditubuhkan. Kerajaan baru Komunis melarang sebarang aktiviti perjudian, yang dianggap sebagai simbol kerosakan golongan kapitalis. Selepas Revolusi Kebudayaan, permainan tersebut dihidupkan kembali, dan sekali lagi mahjong menjadi kegiatan masa lapang yang digemari oleh orang Cina. Bagaimana pun, di Hong Kong, Macao dan tempat-tempat lain, mahjong sentiasa popular, terutamanya di kalangan penutur Kantonis.
Satu lagi permainan tradisional bagi masyarakat Cina ialah xiang qi. Xiang qi merupakan sebuah permainan papan cina yang dimainkan oleh dua orang pemain. Xiang qi berada dalam keluarga yang sama dengan catur. Xiang qi moden sebenarnya berasal dari China, oleh itu ianya digelar sebagai Catur Cina. Permainan ini didapati telah mula dimainkan sejak abad ke-4 selepas Masihi di China. Xiang qi merupakan salah satu permainan papan yang paling popular di dunia. Ciri-ciri yang unik termasuklah pergerakan unik pao (meriam), peraturan yang melarang panglima seperti "raja" dalam catur daripada bertemu dalam garisan yang sama, serta "sungai" dan "istana" yang mengehadkan pergerakan sesetengah buah catur.



KESIMPULAN......
 Kemajuan teknologi pada masa kini semakin membuatkan warisan yang dibanggakan ini semakin dilupakan oleh generasi kini. Sebenarnya permainan tradisional yang kita warisi sejak dulu lagi semakin lama semakin dilupakan dan hilang bersama dengan peredaran zaman. Yang sedihnya ialah di mana anak muda sekarang tidak mengenali permainan-permainan tradisional tersebut seperti congkak, layang-layang, gasing, wau dan sebagainya. Banyak faedah yang boleh diperolehi dari permainan tradisional seperti dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia, menyihatkan badan kerana mengeluarkan peluh dan dapat memelihara warisan budaya zaman berzaman. Selain itu, Negara dapat mempromosikan permainan tersebut sebagai salah satu aktiviti kepada pelancong-pelancong yang datang ke Malaysia. Ia juga akan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia sendiri. Malangnya anak Malaysia tidak memikirkan tentang perkara tersebut mereka hanya inginkan keseronokan dan mengikuti segala perubahan teknologi terkini sehingga melupakan warisan yang perlu dijaga. Oleh itu, remaja boleh mengikuti dan meneruskan permainan berteknologi tapi pada masa yang sama masih lagi memelihara dan pertahankan warisan nenek moyang.

No comments:

Post a Comment